Permulaan Persahabatan

Kisah kami

Sekolah SK Semukoi menjadi tempat kami bermula mengenali apa itu sahabat. Ditakdirkan lahir pada tahun yang sama 1981, menjadikan kami adalah pelajar sekelas yang didaftarkan di sekolah yang sama. Di kelas yang sama bermulalah kisah kami. 

Pada awalnya semasa mendaftar di darjah satu, kami adalah tidak saling mengenal. Lagipun Pat adalah pelajar yang baru pindah masuk dipertengah tahun berpindah dari sekolah lain ke SK Semukoi. Lebih kurang macam tu la. 

Entah macam mana mula berkenalan di alam kanak-kanak sekolah memang perkenalan yang kekok. Dalam kelas aku adalah pelajar yang nakal dan congek. Selalu kena buli dan menangis. Namun, aku tidak pernah membuli sesiapa. Bukan kata diri baik, ya yang pasti aku memang bukan pembuli. Berlatarbelakangkan kehidupan yang susah, aku hanya tinggal dengan datuk dan nenekku. Jarak ke rumah ke sekolah adalah tidak sampai 1km. Tapi agak jauh juga pabila berjalan kaki. 

Ke sekolah aku selalunya menggunakan selipar jepun sahaja. Maklumlah datuk dan nenekku bukan orang berada walaupun begitu mereka tetap menyayangiku seadanya. Terutamanya arwah datukku yang sangat tegas dengan apa itu ke sekolah. Dia mahukan aku bersekolah dan mendapat pendidikan sewajarnya. Namun, kat sini bukan kisah tentang keluargaku. Ia adalah kisahku dengan insan bergelar sahabat. 

Berbalik kepada Pat pula, dia pada waktu tersebut bolehlah dikatakan sebagai pelajar yang sederhana mewahnya. Bukan juga keluarga yang berada sepenuhnya. Namun, dia jauh lebih senang daripadaku. Ayahnya adalah penyelia kerja balak suatu ketika, dan gajinya lumayan. Kami berkenalan dan bersahabat bukan mengambil kesempatan ke atas masing-masing. Umurpun kanak-kanak ketika itu. 

Nak jadi cerita, aku ni kan orang susah, setiap kali makan pada waktu rehat aku akan mencari suatu sudut untuk menjamah bekal yang dibungkuskan oleh nenekku. Lauknya, adalah pucuk ubi tumbuk yang digoreng bersama ikan bilis. Lepas makan memang kena berkumur, kalu tak gusi akan nampak daun ubi yg kehijauan itu melekat di gusi. Pat ni adalah seorang budak yang sedikit berbeza dengan orang lain. Mungkin kerana dia orang baru, dan mencari rakan juga kot. Dia menghampiri aku ketika aku makan, tapi dia hanya melihat sahaja. Tak tahula apa ada di benaknya. 

Setiap kali rehat dia selalu melihatku berseorangan makan tepi bawah pokok cempedak belakang sekolah. Aku tidak hiraukan dia. Dia curi-curi tengok apa yang aku makan. Akhirnya, aku mempelawa dia makan. Tapi dia tak makan tapi hanya duduk sebelahku sahaja. Mulai dari saat itu kami berdua semakin rapat. Dan akhirnya menjadi kawan.

Apabila rehat pula kali ini, si Pat akan mengajakku ke rumahnya, walaupun waktu rehat hanya 20 minit. Kami berdua akan berlari ke rumahnya. Rumahnya terletak di lebih kurang 150m dari sekolah. Namun untuk ke rumahnya perlu menuruni bukit dari sekolah. Untuk kembali ke sekolah semula kena naik bukit. 

Setiap waktu rehat selalu kami berdua manfaatkan untuk mengisi perut ke rumahnya. Jadi begitulah rutinnya. Kadang-kadang bekalku tidak habisku makan. Balik nenek menyangkakan aku tidak makan. Tapi aku ceritakan, aku ikut Pat balik rumah waktu rehat. Apa lagi, atukku dengar tentang itu, diapun memarahi aku. Mulai dari hari itu pulak aku tidak berani ikut Pat waktu rehat walaupun Pat selalu mengajakku pergi. Kalau pergipun sekali sekala. 

bersambung....

Comments